Kebaikan dan keburukan internet kepada masyarakat.
Kebaikan dan keburukan internet kepada masyarakat.
Internet merupakan teknologi asas dalam pembangunan teknologi maklumat. Kini, internet merupakan salah satu saluran rangkaian penghubung dunia yang telah mengecilkan dunia. Dunia tanpa sempadan dimungkinkan dengan adanya jaringan internet ini. Walau bagaimanapun, teknologi internet ini kerap disalahgunakan sehingga menjadi saluran yang boleh membawa kemudaratan.
Internet merupakan saluran ilmu pengetahuan kepada semua pengguna. Kini, pelbagai pengetahuan terkini dapat disalurkan melalui internet. Internet merupakan khazanah ilmu yang membantu berjuta-juta pelajar untuk mendapatkan maklumat dalam proses pembelajaran dan penyelidikan. Tugas guru juga dipermudah melalui penggunaan internet yang membekalkan pelbagai ilmu terkini dan mudah. Perkembangan sains dan teknologi serta ilmu canggih dipaparkan dalam internet. Ia juga membantu dalam proses penyelidikan dan pembangunan.
Selain itu, internet merupakan saluran komunikasi antarabangsa. Teleperubatan dimungkinkan dengan adanya internet. Pakar-pakar perubatan dapat berkomunikasi dan berinteraksi dengan adanya internet. Pelbagai pembedahan dan diagnosis dimungkinkan melalui internet. Komunikasi dalam aspek ekonomi dan politik pula dapat dimungkinkan dengan telekonferens. Ini memudahkan sesuatu urusan komunikasi dalam usaha membuat keputusan tanpa pergi ke sesuatu tempat. Di samping itu, pendidikan jarak jauh juga dapat dijalankan dengan adanya kemudahan internet. Internet ini memberi faedah kepada pelbagai lapisan masyarakat untuk melanjutkan pengajian mereka tanpa menjejakkan kaki ke menara gading.
Internet juga memudahkan urusan harian manusia di mana pembayaran bil elektrik, air, kad kredit dan bil-bil lain dapat dilakukan dengan mudah. Hubungan dengan agensi-agensi kerajaan dan badan-badan pendidikan antarabangsa untuk memohon kemasukan ke kursus pengajian atau peluang kerja dapat dibuat melalui internet. Urusan menerusi internet bukan sahaja menjimatkan masa, tetapi juga dapat memastikan kesesakan lalu lintas dan tekanan kerja dapat diuruskan dengan mudah.
Walau bagaimanapun, internet juga memudaratkan manusia jika disalahgunakan. Kemudahan ini boleh digunakan untuk menceroboh dan mengganggu seperti `hacking’ yang kini banyak berlaku. Laman-laman web kerajaan mudah diceroboh untuk tujuan mengganggu. Keselamatan negara juga sukar dikawal kerana segalanya dihubungkan melalui rangkaian antarabangsa. Beberapa tahun kebelakangan inn, pusat keselamatan negara Amerika Syarikat, Pentagon diceroboh oleh seorang kanak-kanak berusia dua belas tahun. Ini memudaratkan aspek keselamatan negara dan dunia.
Selain itu, virus komputer yang menjadi bahan bualan sejak kebelakangan ini juga disebarkan melalui internet. Kini, banyak virus komputer yang dicipta boleh mengakibatkan data-data dalam komputer hilang dan ada juga virus yang mengakibatkan kerosakan komputer. Ini akan mengakibatkan sesebuah syarikat atau agensi kerajaan lumpuh kerana sistem dan data-data mereka terganggu. Aspek kesihatan juga dikaitkan dengan penggunaan internet. Seseorang yang menggunakan komputer akan duduk di hadapan skrin komputer untuk tempoh masa yang lama. Ini akan membawa masalah kesihatan seperti penyakit mata, sakit tulang belakang dan sebagainya.
Kesimpulannya, internet mempunyai banyak kebaikan dan keburukan. Para pengguna perlu memahami kegunaan internet dan memastikan is digunakan untuk kebaikan sahaja. Kawalan dan pengawasan ibu bapa dan guru adalah penting agar generasi muda memanfaatkan internet demi melahirkan masyarakat berilmu di negara ini.
Kebaikan dan Keburukan Internet
Teknologi maklumat merupakan medium yang telah banyak merubah cara kehidupan manusia. Pada dasarnya, tujuannya adalah untuk memudahkan sesuatu. Sekiranya ia digunakan dengan niat yang betul, sudah tentu akan membawa manfaat dan kesejahteraan hidup. Jika sebaliknya, maka akan membawa perkara yang sia-sia dan merugikan.
Dengan teknologi maklumat dan komunikasi, kita dengan mudah memperolehi ilmu dan maklumat. Kita juga boleh berhubung antara satu sama lain, melakukan transaksi perbankan, membuat pembayaran seperti bil-bil dan banyak lagi kemudahan yang boleh kita perolehi melalui internet. Melihat kepada manfaatnya, kita hendaklah celik dan peka terhadap penggunaanya kerana kemudahan tersebut menawarkan maklumat dan ilmu yang sangat banyak, dan Islam memang menghendaki umatnya untuk sentiasa menimba dan meningkatkan ilmu pengetahuan.
Dalam beberapa kajian yang telah dijalankan (Funkhouser, 1993; Henderson and Landersman, 1992; Chazan, 1988; Mc Coy, 1991; Al Ghamdi, 1987) didapati bahawa:
- Pelajar yang menggunakan komputer dalam matematik mempunyai sikap yang lebih positif terhadap dirinya sebagai ahli matematik dan berkeupayaan menyelesaikan masalah yang lebih kompleks.
- Perisian komputer yang digunakan dalam proses pengajaran akan dapat membantu pelajar memahami konsep dan prinsip matematik dengan mudah dan berkesan.
- Pencapaian pelajar dalam peperiksaan akhir menunjukkan peningkatan yang ketara.
- Kumpulan yang belajar berbantukan komputer mempunyai kemampuan mengekalkan maklumat dalam jangka masa yang lebih lama dan dapat menggunakannya dalam bidang-bidang lain.
Penggunaan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran melibatkan beberapa aplikasi, seperti spreadsheet, multimedia dan internet. Peranan dan penggunaan internet telah mula dikenalpasti dapat membantu pengurusan dalam sistem pendidikan negara khususnya dalam pelaksanaan proses pengajaran pembelajaran di dalam dan luar bilik darjah yang secara langsung melibatkan para pendidik, pelajar dan ibubapa serta ahli masyarakat yang prihatin.
Namun tidak dinafikan juga, ia mempunyai keburukan dan memberikan kesan negatif yang boleh mempengaruhi fikiran dan minda, boleh merosakkan moral dan akhlah, boleh menjejaskan keselamatan awam dan negara, dan lebih buruk lagi mengugat akidah umat Islam. Melalui internet sahaja, seseorang itu boleh mendapatkan maklumat yang berkemungkinan tidak betul atau kurang tepat. Selain itu, terdapat juga peristiwa atau laman web yang mempunyai unsur tidak beretika dan
tidak bermoral seperti paparan gambar pornografi, penyebaran fahaman yang bertentangan dengan agama Islam, perjudian dan penipuan dalam urusan jualbeli melalui Internet.
Ibubapa perlu memberikan pendidikan agama dan menerapkan pembentukan akhlak yang mulia ke dalam jiwa anak-anak. Selain itu, ibubapa perlu tegas mendidik anak-anak untuk menggunakan internet bagi tujuan yang baik dan bermanfaat sahaja, dan mengatur masa dengan bijak agar tidak terlalai dan leka ketika melayari Internet.
Sungguhpun kita hidup di zaman yang semuanya mudah, cepat dan jimat. Namun perlu juga disedari bahawa ia juga membawa perubahan kepada kehidupan kita, seperti cara bersosial, berkomunikasi dan sebagainya. Kita juga harus berwaspada dan berhati-hati terhadap pihak yang sentiasa cuba merosakkan akhlak dan minda serta akidah umat Islam. Para ibubapa, guru dan masyarakat wajib melindungi kanak-kanak dengan sentiasa memberi bimbingan dan nasihat kepada mereka akan etika ketika melayari Internet.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan